Wednesday, April 22, 2009

COOKISS on KOSMO today!

Last 2 weeks, I received a call from a KOSMO journalist, asking whether I would like to be interview for an article in the Infiniti section called "Tamu Blogger". I was really thrilled and excited when i received her call. Yes, definitely I agreed to her request :) On the interview day, i was pretty nervous initially(lol..of course! this is my first time..) but Li Shian(journalist) and the photographer made the interview very relaxing and easy for me. I shared my blogging+business story with them on the last wednesday, and today..walahh!! I would like to thank the KOSMO journalist,Li Shian who discovered my potential and appreciate my work =) Thank you!
*Let me share the article with all of you

INFINITI

Bisnes pastri graduan Fizik

Siapa kata hanya graduan kulinari atau masakan boleh mempunyai bisnes pastri. Mira membuktikan minat dan teknologi Internet boleh membantu sesiapa sahaja menceburinya.



KELIHATAN kek cawan tersusun kemas di atas dulang. Di atas setiap satu kek itu pula terhias pelbagai peralatan pejabat dalam saiz mini. Ada pena hitam, pensel dan pemadam, klip kertas, komputer riba serta buku nota. Malah, segala peralatan tadi termasuk beberapa akhbar kompak Kosmo! semuanya hanya sebesar saiz syiling 20 sen! Terlalu comel dan sayang untuk dimakan.

Jika difikirkan sejenak, pasti pembuat kek cawan itu seorang chef profesional yang teliti dengan hasil kerjanya ataupun suri rumah yang sudah terlalu arif dengan bab masakan.

Realitinya, hasil kerja kek-kek cawan tadi datangnya daripada seorang graduan muda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga pemegang ijazah jurusan Fizik!

Pelik? Tidak perlu pelik kerana jika sudah minat, pasti ia bukan sesuatu yang mustahil. Minat awal Amirah Muhamad Akhir terhadap kek cawan bermula secara suka-suka sewaktu melanjutkan pengajian di menara gading.

"Masa belajar di universiti, saya suka buka Internet dan tengok kek cawan yang dihasilkan oleh orang lain. Mungkin sebab masa sekolah dulu saya suka subjek Pendidikan Seni. Jadi, secara naturalnya, saya tiada masalah untuk menghias kek cawan," katanya saat ditemui Kosmo! di kediaman keluarganya di Petaling Jaya baru-baru ini.


INILAH biskut bermotifkan logo akhbar Kosmo!.


Menurut Amirah yang lebih mesra disapa Mira, bakat membuat kek dan biskut mungkin diwarisi daripada neneknya. Tanpa sebarang pendidikan formal dalam bidang pembuatan kek atau pastri, anak ketiga daripada empat adik-beradik itu kemudian mengikuti dua bengkel membuat kek sebelum mencubanya berkali-kali di rumah.

Daripada sekadar suka-suka membuatnya, gadis berusia 23 tahun itu akhirnya melibatkan diri dalam hobi barunya secara aktif sejak Mei tahun lalu. Anak kepada seorang pesara kakitangan swasta itu memberitahu, dia bertuah kerana mendapat sokongan daripada kedua-dua orang tuanya.

"Kadang-kadang waktu buat kek cawan, bapa datang tolong. Begitu juga dengan adik saya. Bapa bagi nasihat dari aspek logistik. Mak pula lebih kepada bahagian penentuan harga produk," jelasnya.

Pada awal penglibatannya dalam hobi itu, Mira pernah menghasilkan biskut dan kek cawan untuk ibunya. Katanya, sampel-sampel produk hari raya itu kemudian menjadi batu loncatan untuknya membuka bisnes kecil tersebut. Bisnes kecil-kecilan itu kini berkembang menjadi sebuah syarikat membuat biskut, kek dan pastri milik Mira.




Resipi-resipi yang dipelajari sendiri diperkemaskan menerusi tunjuk ajar yang diterimanya daripada Chef Nor Zailina. Selain buku dan Internet, Mira rajin mengirim soalan kepada Nor Zailina untuk mendapatkan sukatan yang tepat bagi adunan kek dan biskutnya.

Memberi tumpuan kepada biskut atau kek custom-made, Mira biasanya menerima tempahan untuk pelbagai majlis keramaian. Namun, sebahagian besar pelanggannya terdiri daripada gadis remaja yang membuat tempahan untuk hadiah hari jadi kekasih mereka.

"Tengok ni..., lazimnya perempuan suka tempah kek cawan macam ini (sambil menunjukkan sebiji kek besar daripada gabungan 25 kek cawan kecil).

"Mereka tahu teman lelaki suka kelab-kelab bola sepak tertentu dan itulah yang akan dipilih sebagai coraknya. Kek kelab Manchester United (MU) biasanya paling laris," ujarnya tertawa.

Bercerita tentang corak dan rekaan, antara permintaan pelik yang pernah diterimanya termasuk menghasilkan kek bermotifkan Barney tiga dimensi dan beg Louis Vuiton. Kek Barney itu, jelasnya, memakan masa sehari untuk disiapkan.

Berbanding kek, Mira merasakan dekorasi di atas biskut lebih susah memandangkan tiada had untuk mengisi penampilan sesebuah biskut.

Jika diamati, sudah menjadi signatur produk kek Mira terdiri daripada gabungan berbiji-biji kek cawan. Justeru, tidak hairanlah mengapa kek cawan Mira begitu popular dalam kalangan pelanggan tetap mahupun pelanggan baru.


PERALATAN pejabat mini di atas kek-kek cawan.


Sebelum setiap produknya dihasilkan, lakaran rekaan akan dilukiskan di atas sehelai kertas. Idea gabungan warna yang bersesuaian dan susun atur corak-corak mini perlu ditentukan terlebih dahulu.

Walaupun proses itu kedengaran agak ringkas dan mudah, hakikatnya kadangkala Mira juga ketandusan idea.

"Ada ketika sampai semalaman, saya tidak dapat idea. Jadi, idea itulah yang mahal harganya," jelasnya jujur.

Menggunakan bahan-bahan segar sebagai ramuan, produk biskut dan kek Mira adalah 100 peratus buatan tangan. Tidak hanya cantik pada penampilan tetapi enak dimakan, kek cawan dan biskutnya nyata membuatkan orang kecur air liur.

Menurut Mira, tempahan paling banyak yang pernah diterimanya adalah daripada seorang pelanggan yang memesan berulang kali 200 biji kek cawan.

"Pada mulanya, pelanggan itu menempah 50 biji kek cawan untuk sambutan hari jadi anak kembarnya. Selepas itu, dia tambah bilangan tempahan lagi," ceritanya.


HANYA berbekalkan daya kreativiti, Mira berjaya menjana pendapatan daripada jualan kek cawan dan biskutnya.


Tidak bercadang untuk mempromosikan produknya di bazar-bazar seperti kebanyakan orang, Mira mengakui lebih selesa menerima tempahan menerusi blognya (http://miracookiss.blogspot.com) atau panggilan telefon.

Blog berusia kurang setahun itu pada awalnya hanya berfungsi sebagai galeri Mira untuk berkongsi hobi barunya. Gadis yang murah dengan senyuman itu juga memberitahu, tempahan paling jauh yang pernah diterima adalah dari Kuching, Sarawak.

Meskipun produknya kini sudah sampai sejauh Bumi Kenyalang, Mira bagaimanapun tidak begitu selesa dengan tempahan dari jauh. Alasannya cukup ringkas.

"Saya masukkan hasil kerja kek cawan dan biskut dalam blog pun sekadar untuk berkongsi cerita. Risiko kek rosak adalah agak tinggi apabila dihantar ke destinasi yang jauh. Nanti reputasi buruk, saya yang kena tanggung.

"Misalnya, pernah sekali saya hantar tempahan dan kek cawan itu terbalik. Itu memang silap saya. Jadi, kena buat balik untuk pelanggan," ujarnya.

Namun, pengalaman paling lucu bergelar seorang usahawan kecil dan blogger berlaku apabila Mira sering digelar 'Puan' melalui corong telefon. Setiap kali, produk itu dihantar sendiri kepada pemiliknya, ramai yang terjerit kecil apabila melihat Mira yang rupa-rupanya seorang gadis berusia 20-an.

Dalam aspek kutipan hasil jualan pula, dia memberitahu, pembatalan tempahan oleh pelanggan dalam masa tiga hari sebelum tarikh penghantaran tidak akan dilayan.



"Saya sudah tulis dengan jelas terma dan syarat pembayarannya. dalam blog. Jadi, memang bayaran semula wang ringgit kepada pelanggan tidak akan dibuat jika tiba-tiba tempahan dibatalkan beberapa hari sebelum tempahan siap," katanya yang bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Tuhan untuknya itu.

Harga biskut bermula dari RM2.50 setiap satu sehingga RM45 sekotak (kira-kira 40 hingga 60 keping), bergantung kepada saiz dan komplikasi rekaan yang diperlukan. Sementara itu, harga kek cawan (saiz souffle cup medium) pula bermula dari serendah RM2.50 sehingga RM4 setiap satu.

Masih menganggap bisnes berskala kecil itu sebagai hobi, Mira bercadang untuk meneruskan pengajian ijazah sarjana yang menfokus pada penyelidikan Teknologi Nano di sebuah universiti awam tempatan mulai Julai ini.

link to this article:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm



 

Template Designed By www.myravea.com